SPAN pinda Akta 655, cadang larang air diguna tujuan tidak penting

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim – September 26, 2023 @ 3:48pm mohd_iskandar@bh.com.my
BERITA PENUH DISINI

Pengerusi SPAN, Charles Santiago. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Penggunaan air untuk tujuan tidak penting seperti menyiram rumput dan taman mungkin akan dikenakan sekatan selepas ini, terutama ketika negara berdepan krisis atau kekurangan sumber bekalan berkenaan.

Itu antara cadangan dipertimbangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang sedang meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
 
Pengerusi SPAN, Charles Santiago, berkata pindaan akta terbabit juga adalah untuk membolehkan bekalan air ditebus guna sebagai sumber alternatif yang bukan untuk diminum.
 

“Di bawah pindaan ini, perkhidmatan pembetungan akan merangkumi rawatan dan pengeluaran air tebus guna manakala perkhidmatan bekalan air akan merangkumi pengagihan serta membekalkan air tebus guna kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan forum bertajuk ‘Rising To The Water Regulatory Challenge and Future Changes’ di sini, hari ini.
 
Dalam pada itu, Santiago berkata, seperti utiliti lain, sektor air membabitkan perbelanjaan modal yang besar dan terdedah kepada salah laku serta ketirisan.

Justeru, katanya, integiriti serta tadbir urus menjadi cabaran utama kepada pengurusan perkhidmatan air dan pembentungan yang mampan.
 
“Contoh salah guna dan ketirisan dalam perkhidmatan air antaranya ialah rasuah membabitkan proses perolehan projek, nepotisme dan pilih kasih dalam menyediakan akses kepada pekerjaan serta kenaikan pangkat, penyelewengan dana dan lain-lain lagi.
 
“Sebab itu, kita memerlukan integriti yang kuat dan sistem tadbir urus yang baik dalam menangani rasuah, ketirisan serta salah guna kuasa,” katanya.
 
Tegasnya, SPAN sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air mengamalkan sifar toleransi terhadap rasuah.
 
“Pengurusan tertinggi dan kakitangan operator pembekalan air dan pembetungan, kontraktor serta agensi wajib mematuhi kerangka antirasuah yang dilancarkan SPAN pada 2019,” katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published.