Pengurusan Air di Masjid: Berinovasi untuk Masa Depan yang Hijau di Kalangan Warga Kangar, Perlis

-ditulis oleh Shahirah Anuar, disunting oleh Sarah

Forum Air meluaskan lagi fokus Program Cekap Air ke negeri Perlis Indera Kayangan baru-baru ini pada Sabtu, 30 September 2023 dengan kerjasama Rumah Ibadat Hijau (RIH) MGTC bertempat di Masjid Al-Ariffin, Padang Katong, Kangar, Perlis di bawah Program Amalan Gaya Hidup Hijau Ke Arah Keseimbangan Alam. Untuk program kali ini, suasana serta sambutannya agak meriah dan dipenuhi dengan tenaga orang ramai disebabkan terdapat pelbagai aktiviti berlangsung pada hari tersebut. Daripada aktiviti bergotong-royong bersama komuniti masjid, pertunjukan simulasi keselamatan oleh WIRAMERAH, sehinggalah ke aktiviti pameran booth dari Center for Energy Management & Sustainable Campus (COSCEM), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), RHB Islamic Bank Berhad, Dan Environment Idaman Sdn. Bhd. 

Pengerusi masjid, Prof. Ir Dr. Anuar bin Mat Safar memberi keterangan mengenai Pameran Kelestarian Alam Sekitar
Forum Air telah diiktiraf sebagai rakan strategik Rumah Ibadat Hijau MGTC, baru-baru ini

Rumah Ibadat Hijau (RIH) dan Forum Air telah bekerjasama sejak masjid pertama pada awal Ramadan di Petaling Jaya. Masjid Al-Ariffin merupakan masjid ketiga tahun ini untuk lokasi aktiviti Forum Air. Lebih 50 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, dan ahli jawatankuasa masjid telah menghadiri Program Cekap Air pada hari tersebut. Majlis pemberian pili cekap air dimulakan dengan kata alu-aluan oleh pengerusi masjid, iaitu Prof. Ir Dr. Anuar bin Mat Safar serta kata-kata penghargaan dari En. Norazam, koordinator Program Rumah Ibadat Hijau (RIH), MGTC yang menekankan kepentingan masjid sebagai titik permulaan kepada komuniti untuk mempraktikkan amalan hijau serta menjadi pengguna yang lebih bertanggungjawab, bukan sahaja daripada segi menguruskan sisa sampah namun juga daripada segi penggunaan air, elektrik dan tenaga. 

En. Khithob Ahmad, Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara juga dijemput untuk merasmikan majlis tersebut. Dalam ucapan beliau, kemudahan teknologi hijau sebegini, diharapkan ianya dapat meningkatkan lagi usaha jemaah Masjid Al-Ariffin untuk berterusan mempraktikkan amalan penjimatan air. Beliau menitikberatkan bahawa amalan penggunaan air secara berhemat hendaklah sentiasa diamalkan. 

Perasmian oleh En Khithob Ahmad, Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara --Kredit gambar Facebook Masjid Al Ariffin Padang Katong, Kangar
(Dari kanan) Prof Ir. Dr. Anuar menerima sumbangan oleh Forum Air sebagai gimik perasmian Majlis Pemberian Pili Cekap Air yang diketuai oleh En. Khithob (tengah) dan En. Fadly Bakhtiar (paling kiri)

Air merupakan satu sumber yang penting umat Islam. Secara umumnya, semua individu memahami bahawa air adalah satu anugerah yang sangat bernilai dan praktikal dalam penggunaannya. Ia juga berkait rapat dengan amalan ibadah umat Islam, iaitu solat. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam dan kita semua sebagai khalifah di bumi untuk menjaga amanah ini dengan menghindari sebarang pembaziran dalam penggunaan air. 

Acara diteruskan dengan perkongsian dari Pengarah Program Forum Air, En. Fadly Bakhtiar mengenai usaha Forum Air dalam mewakili kepentingan pengguna dalam perkhidmatan bekalan air dan fokus utama program ini kepada warga komuniti masjid. Seterusnya, sebanyak 150 pili cekap air yang berstatus dua bintang telah disumbangkan kepada empat masjid di kawasan Kangar dan Padang Besar, iaitu: 

Masjid Al-Arifin, Padang Katong, Kangar, Perlis
Masjid Darul Ibadah, Padang Behor, Kangar, Perlis
Masjid Al Mustaqim, Seriab, Kangar, Perlis
Masjid Al-Azim, Kampung Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis

Untuk menambahkan lagi pencerahan mengenai bagaimana pili cekap air mampu membantu pengguna dalam menjimatkan air, sesi demonstrasi yang diketuai oleh Rumah Ibadat Hijau telah dilakukan di bahagian ruangan wuduk wanita. Secara ringkasnya, perbandingan antara pili air yang lama dengan pili cekap air telah dibuat dengan cara menyukat masa yang diambil untuk memenuhi satu botol plastik 150 ml. Usaha yang dibawakan oleh Forum Air adalah untuk memenuhi target SPAN untuk memperluaskan lagi penggunaan Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA), iaitu produk yang memenuhi kriteria penilaian kadar kecekapan dalam penjimatan air. 

 
Demonstrasi perbandingan antara pili air lama (berwarna kuning) dengan pili air baru yang mempunyai kecekapan air berstatus dua bintang kepada komuniti masjid
Warga Forum Air bergambar bersama En. Khithob, Pengarah SPAN Wilayah Utara ketika berakhirnya majlis pada hari tersebut

Diharapkan, aktiviti sebegini bukanlah setakat ini sahaja dan Forum Air amatlah mengalu-alukan kerjasama pada masa yang akan datang dengan pelbagai pihak demi menyebarkan kesedaran dan pendidikan air yang mapan kerana itulah matlamat kami, mewakili pengguna. Jika anda terdapat sebarang pertanyaan mengenai program yang akan datang, anda boleh menghubungi pihak Forum Air di suara@airkita.org.my atau melalui laman sosial media kami di @airkita_malaysia.

Add a Comment

Your email address will not be published.