[KENYATAAN MEDIA] PELARASAN TARIF AIR DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN KELESTARIAN PERKHIDMATAN AIR NEGARA

Kuala Lumpur, 19 Januari 2024 — Pengumuman pelarasan tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 17 Januari telah menimbulkan pelbagai reaksi dari orang ramai. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh SPAN, iaitu mulai 1 Februari 2024, tarif air domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan naik secara purata sebanyak 22 sen untuk setiap meter padu. 

Sebahagian pengguna merasakan ia tidak sepatutnya berlaku ketika ini di mana rakyat sedang menghadapi cabaran ekonomi yang agak ketara. Walau bagaimanapun, ada yang menyetujui pelarasan tersebut memandangkan kos rawatan air yang semakin meningkat. Namun, mereka juga mahu kerajaan menjamin ia akan meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air. 

Ada juga menyatakan dengan kenaikan tarif air ia boleh menggalakkan rakyat Malaysia untuk lebih berhemah dalam penggunaan air. Hal ini ialah kerana kadar penggunaan air rakyat Malaysia adalah sebanyak 237 liter per kapita sehari, melebihi kadar saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 180 liter per kapita seorang sehari.

Forum Air melihat pelarasan tarif air ini adalah satu keperluan untuk pelaburan jangka masa panjang memandangkan kos perkhidmatan bekalan air yang semakin bertambah dari pelbagai sudut merangkumi aspek-aspek penyenggaraan dan pembaikpulihan. 

“Pihak SPAN haruslah memastikan syarikat-syarikat pembekal air akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan bekalan air kepada rakyat. Hal ini termasuklah pemantauan secara aktif dan serius berdasarkan kriteria-kriteria KPI yang telah ditetapkan oleh SPAN serta tindakan segera dan wajar terhadap mana-mana operator air yang gagal mematuhinya.” kata wakil Forum Air, Amlir Ayat.

Rakyat juga haruslah memainkan peranan mereka dengan tangkas dan tegas dalam menyuarakan sebarang kelemahan atau kepincangan mengenai kualiti perkhidmatan bekalan air kepada pihak operator, termasuk insiden-insiden kerosakan infrastruktur seperti kerosakan paip dan pencurian air.

Penggunaan air dengan lebih berhemah termasuk mengelakkan pembaziran juga seharusnya menjadi amalan utama rakyat Malaysia demi mencapai kadar penggunaan air yang mampan.

Tanggungjawab dalam mencapai tahap kelestarian perkhidmatan air negara yang optimum perlu dipikul oleh semua pihak dengan memainkan peranan secara kolektif dan aktif. Air adalah keperluan asas manusia yang perlu dijaga dan dilindungi dengan sifat rasa tanggungjawab sepenuhnya.

Orang ramai juga boleh salurkan sebarang pendapat dan maklum balas jika mengalami isu berkenaan perkhidmatan air dan pembetungan melalui beberapa saluran iaitu pertama kepada pembekal (operator) seterusnya kepada Forum Air, iaitu platform rasmi Kempen #AirKita (https://www.airkita.org.my/) dan sekiranya masih tiada tindakan yang sewajarnya diambil oleh operator maka aduan berkenaan boleh disalurkan kepada SPAN.

—Tamat— 

 

*Hubungi pihak kami untuk sebarang pertanyaan: 
Forum Air-EcoKnights: 
Shahirah Anuar
No. Tel: +60 115634 2344
Email: shahirah@ecoknights.org.my

Add a Comment

Your email address will not be published.