Penetapan tarif air perlu situasi ‘menang-menang’

Disember 12, 2023 @ 9:06am
BERITA PENUH DISINI

Mengikut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), seorang rakyat Malaysia secara purata menggunakan kira-kira 201 liter air setiap hari, yang mana penggunaan itu melebihi 20 peratus daripada cadangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Data itu juga menunjukkan kadar penggunaan air di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Thailand yang menggunakan 193 liter sehari, manakala Singapura (151 liter).

Antara punca kadar penggunaan air di Malaysia amat tinggi adalah tarif air dikenakan kepada pengguna domestik secara relatifnya sangat murah. Secara purata, pengguna domestik dikenakan tarif serendah 30 sen bagi setiap liter padu digunakan dan paling tinggi adalah 80 sen setiap liter padu.

Foto hiasan. - Bernama

Kebanyakan tarif air ditetapkan mengikut operator air negeri ini pula ada yang sudah 40 tahun tidak disemak atau dikaji semula. Namun begitu, soal tarif air dan sebarang cadangan untuk menaikkan kadarnya adalah isu sensitif bukan saja kepada rakyat, bahkan menjadi beban kepada parti menjadi kerajaan negeri.

Kenaikan tarif air juga boleh menggugat kedudukan kerajaan negeri kerana isu ini pasti dijadikan senjata bagi parti pembangkang untuk meraih undi rakyat ketika pilihan raya, sekali gus mampu menjatuhkan atau mengurangkan sokongan rakyat kepada parti membentuk kerajaan.

Oleh sebab itu, jika syarikat operator air menghulurkan kertas kerja bagi menaikkan tarif air sebagai strategi untuk menyerap kenaikan kos operasi, cadangan itu pastinya akan ditangguhkan atas alasan tidak mahu membebankan rakyat.

Malangnya segelintir rakyat melihat syarikat operator air tidak patut menaikkan tarif air atau mengenakan caj kepada mereka kerana menganggap operator mendapat air percuma ‘daripada Tuhan’ menerusi hujan, sungai atau empangan sedangkan syarikat operator memerlukan modal bagi memproses air mentah kepada air terawat.

Hari ini, rakyat mahukan perkhidmatan cekap dan terbaik dalam bekalan air terawat tetapi adakah mereka bersedia berkongsi dana untuk mendapatkan bekalan air terawat secara lestari.

Dalam hal ini rakyat perlu sedar syarikat operator air perlu membayar bil elektrik, membeli bahan kimia, peralatan khas, menggantikan paip lama dan menggaji tenaga pakar bagi menghasilkan air terawat yang mana kesemuanya memerlukan dana untuk dijayakan. Dana itu diperoleh daripada bayaran bil air dilunaskan pengguna setiap bulan.

Justeru, jika kadar tarif air tidak disemak semula atau dinaikkan pada kadar munasabah, bagaimana operator air hendak bertahan menanggung kos semakin meningkat bagi menghasilkan air terawat mengikut standard ditetapkan.

Dalam hal ini, pengguna juga patut bertanggungjawab untuk memastikan syarikat operator berdaya tahan untuk membekalkan air terawat secara lestari dengan bersedia membayar tarif baharu yang munasabah untuk kesejahteraan bersama.

Add a Comment

Your email address will not be published.