Memupuk Pelindung Air Masa Depan: Memperkasakan Belia untuk Pengurusan dan Pemeliharaan Air Mampan

Kuala Lumpur,  7 Ogos 2023 — Umum mengetahui bahawa golongan belia adalah cerminan kualiti kepimpinan negara yang bertanggungjawab dalam memperkasakan pembangunan mampan. Oleh itu, dengan adanya penganjuran program Projek VOCAL x Air Kita, sebagai salah satu inisiatif di bawah Kempen Air Kita, Tanggungjawab Bersama, Forum Air melihat ianya sebagai satu peluang yang bernilai kepada golongan belia untuk berebut peluang dalam melibatkan diri dalam isu perubahan iklim. 

Program yang terbuka kepada golongan belia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun ini, memfokuskan kepada topik kepentingan komunikasi sains yang efektif dalam arus media baru untuk menyampaikan isu tentang pengurusan serta pemeliharaan air. Dengan peserta seramai 17 orang yang terdiri daripada pelajar universiti serta beberapa individu yang telah melangkah ke alam pekerjaan, berjaya menamatkan penglibatan mereka dengan jayanya selama dua hari.

Melihatkan kepada betapa pentingnya kaedah penyampaian maklumat yang lengkap, telus serta padat dengan informasi kepada orang awam, Projek VOCAL cuba untuk mengetengahkan perkara ini sepanjang dalam program. Justeru itu, selari dengan objektif utama program ini, beberapa aktiviti telah dilakukan sepanjang dua hari program berlangsung, iaitu sesi pembinaan kapasiti atau modal insan serta lawatan fizikal ke beberapa tempat yang bertujuan untuk memberikan pendedahan secara langsung terhadap usaha pemeliharaan air. 

Hari pertama program ini, iaitu pada 5 Ogos 2023 (Sabtu) bersama-sama dengan Gerbang Maritime Selangor atau dikenali sebagai Selangor Maritime Gateway (SMG), para peserta ini memulakan pagi mereka dengan aktiviti “River Educational trip” di Sungai Klang. Perjalanan aktiviti ini bermula di Taman Awam Pengkalan Batu (TAPB) dan berakhir di Royal Selangor Yatch Club yang di mana mengambil lebih kurang satu jam setengah untuk melengkapkan program ini. Para peserta berpeluang menyaksikan operasi Log Boom, Interceptor 002, Interceptor 005 serta melihat sisi sebenar Sungai Klang yang penuh dengan sampah sarap. Melalui ini, peserta dapat memahami proses pembersihan sungai dan amalan pemuliharaan dari pihak yang berkepentingan seperti penduduk tempatan serta badan pertubuhan seperti SMG.

Wajah ceria peserta ketika sedang menaiki bot semasa program ‘River Educational Trip’

 

Dikenali sebagai The Ocean Cleanup Interceptor 002 yang merupakan salah satu usaha SMG dalam pengurusan sisa sampah sungai yang cekap

Setelah tamat sesi lawatan di Sg. Klang, para peserta bergerak ke lokasi yang seterusnya, iaitu  Mangrove Point, Pelabuhan Klang untuk memulakan aktiviti jelajah di kawasan paya bakau. Melalui aktiviti ini, para peserta diberi peluang untuk melihat biodiversiti hutan paya bakau di kawasan pesisiran sungai secara keseluruhan seperti ketam, tikus dan ikan belacak (‘Mud skipper’) serta kepentingan biodiversiti ini kepada ekosistem sungai serta paya bakau. Selain daripada menyaksikan keindahan flora dan fauna, diiringi dengan wakil SMG, para peserta juga diajar mengenai inisiatif pemeliharaan kawasan paya bakau melalui pembersihan gotong-royong yang berkala. 

Disebabkan terdapat banyak sampah terkumpul dan tersangkut di celah-celah akar pokok paya bakau akibat arus daripada Sungai Klang menyebabkan kekerapan aktiviti gotong-royong adalah tinggi. Melalui pendedahan terhadap kepentingan ekosistem kawasan paya bakau hasil daripada lawatan ini, para peserta VOCAL dengan penuh semangat berjaya mengutip sampah sebanyak 290.5 kg, hasil kerjasama dengan peserta daripada program Guardians Against Garbage x Air Kita. Hari tersebut diakhiri dengan sesi menjamu selera sejurus tamatnya hari pertama Projek VOCAL dan para peserta kembali ke Universiti Malaya untuk meneruskan aktiviti harian mereka.

Para peserta lengkap dengan memakai boots serta sarung tangan bersama hasil kutipan sampah sejurus tamatnya aktiviti gotong-royong di Mangrove Point

Projek VOCAL diteruskan lagi pada hari kedua, iaitu 6 Ogos 2023 bertempat di Pusat Pembangunan Kelestarian Universiti Malaya (UMSDC) yang di mana bengkel pembinaan kapasiti telah dijalankan bersama beberapa tetamu jemputan khas yang terdiri daripada wakil NGO, industri dan media berfokuskan terhadap alam sekitar. Pada awal pagi tersebut, program dimulakan dengan aktiviti perbincangan bersama ahli panel yang terdiri daripada Encik Ts. Mohd Fazil bin Ismail selaku Pengarah Unit Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Dr. Yasmin Rasyid, selaku Presiden EcoKnights & Duta Air bagi Air Kita, dan Encik Affan Nasarrudin, Pengasas Water Warriors. 

Warga Forum Air berpendapat bahawa aktiviti perbincangan ini amatlah penting kepada para peserta daripada segi perkongsian pengalaman serta pengetahuan secara langsung berkenaan bagaimana warga belia boleh memainkan peranan mereka untuk menyampaikan mesej penting mengenai isu air melalui komunikasi media. Sesi perkongsian ini berfungsi sebagai pembuka mata untuk para peserta supaya mereka lebih memahami kepentingan komunikasi secara dua hala yang jelas dan dapat membuatkan mereka lebih bersedia untuk sesi latihan yang seterusnya.

(Ketika sesi panel) Ahli panel yang terlibat dalam sesi perkongsian serta perbincangan bersama para peserta Projek VOCAL

Di samping sesi perkongsian dari ahli panel, terdapat tiga sesi pembinaan kapasiti yang telah disediakan oleh penganjur yang menumpukan beberapa topik utama, iaitu pengenalan umum kepada komunikasi media serta pengurusan air yang mampan. Sesi pertama telah dikendalikan oleh Encik Kennedy Michael, Pengasas Community Action Nexus Berhad dan Pengasas Alliance of River Three (ART!) manakala sesi kedua dikendalikan oleh Encik Ts. Mohd Fazil bin Ismail dan diakhiri dengan Bryan Yong. Setiap sesi pembinaan kapasiti ini, para peserta dikehendaki untuk melakukan aktiviti serta latihan yang dapat membantu mereka untuk lebih arif mengenai teknik menggunakan komunikasi media dalam menyampaikan mesej serta isu berkenaan alam sekitar.

Para peserta sedang khusyuk serta aktif dalam melibatkan diri mereka sepanjang sesi ini berlangsung

Dengan berakhirnya sesi pembinaan kapasiti yang ketiga, para peserta dikehendaki untuk menghasilkan satu bahan komunikasi yang berfokuskan isu pengurusan serta pemeliharaan air dalam pelbagai bentuk atau jenis bahan komunikasi media, iaitu seperti poster infografik mahupun video pendek. Melalui aplikasi Panduan Untuk Membangunkan Bahan Komunikasi yang telah disampaikan oleh Bryan Yong, para peserta lebih dapat memahami bagaimana serta proses cara pembinaan bahan komunikasi media kreatif dengan lebih jelas serta teratur. Bukan sahaja para peserta dapat mewujudkan hubungan yang interaktif antara satu sama lain dan juga dapat memupukkan semangat bekerjasama serta kemahiran untuk berfikir dengan secara pantas juga diperolehi.

Melalui program sebegini, para peserta dapat didedahkan dengan teknik asas untuk menyampaikan mesej serta maklumat yang berkesan

Penghargaan yang berupa bentuk cenderamata hadiah juga diberikan kepada peserta yang memenangi rekaan bahan komunikasi terbaik sebagai galakkan kepada mereka untuk terus berusaha serta aktif dalam program sebegini. Pihak Forum Air mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dalam program ini serta mengharapkan para peserta dapat dipupukkan dengan elemen kesedaran mengenai pengurusan dan pemeliharaan air, melalui kemahiran dalam bidang jurnalistik  untuk menerapkan kualiti kepemimpinan golongan belia dalam mengambil tindakan terhadap isu perubahan iklim. 

Jika anda terdapat sebarang pertanyaan mengenai program yang akan datang, anda boleh menghubungi pihak Forum Air di suara@airkita.org.my atau melalui laman sosial media kami di @airkita_malaysia.

Add a Comment

Your email address will not be published.