Krisis bekalan air jika kemarau berterusan

SITUASI terkini paras air di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang yang susut mendadak ekoran cuaca panas.

 

Oleh SAFINA RAMLI, 14 April 2023, 8:01 am

GEORGE TOWN: Pulau Pinang berpotensi menghadapi krisis bekalan air sekiranya operasi pembenihan awan tidak dilaksanakan segera bagi mengisi semula Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Path­manathan berkata, perubahan iklim menyebabkan taburan hujan yang rendah direkodkan di kedua-dua empangan itu sekali gus boleh menyebabkan kapasiti efektif empangan menyusut dengan ketara.

“Pulau Pinang mesti mengelak potensi krisis bekalan air yang boleh menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada 1.74 juta orang dan mengganggu semua aktiviti sosio­ekonomi yang telah menyumbang RM99 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2021,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang memohon bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mendapatkan syarikat atau agensi yang berkelayakan bagi menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan itu.

Pathmanathan berkata, kapasiti efektif Empangan Air Itam pada tahap 49.5 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada kadar 50.7 peratus.

“Kapasiti efektif kedua-dua empangan ini diunjurkan akan terus susut kepada tahap kritikal jika musim kemarau semasa berlanjutan hingga Ogos depan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air kedua-dua empangan itu dan merujuk Jabatan Meteorologi mengenai status terkini syarikat yang la­yak dan boleh menjalankan operasi pembenihan awan.

Bagaimanapun jelasnya, tiada syarikat yang boleh memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan Nadma untuk campur tangan dan memudahkan pelaksanaan operasi pembenihan awan secepat mungkin. – UTUSAN

Add a Comment

Your email address will not be published.