Jimat air menerusi produk cekap air

13 Ogos 2021 11:30am

Apalah maknanya hidup tanpa air, namun penggunaan air secara berhemah amat perlu demi memastikan bekalan air bersih sebagai keperluan asas manusia dapat dilestarikan.

Ini merupakan salah satu objektif utama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam memperkenalkan Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA).

SPPCA bukan hanya untuk mempromosi teknologi yang kos efektif dan cekap air, tetapi menggalakkan gaya hidup hijau dengan penggunaan produk-produk cekap air.

Selain dapat mengurangkan permintaan ke atas air mentah, produk cekap air ini juga dapat menggalakan kehidupan yang lebih hijau dan membantu pengguna mengurangkan kos bil air dengan pengurangan penggunaan air.

SPPCA diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk-produk cekap air sedia ada dan memaklumkan kepada pengguna penarafan kecekapan produk dengan mengambil kira faktor-faktor ini apabila membuat pembelian.

Melalui maklumat SPPCA, ia berfungsi membantu pengguna membuat pilihan yang betul semasa pembelian produk di samping menggalakkan pengeluar menghasilkan lebih banyak produk cekap air di pasaran.
Melalui penggunaan produk cekap air secara meluas, ia berupaya melestarikan sumber air dan mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar secara jangka masa panjang.
Terdapat lima jenis produk yang disenaraikan di bawah SPPCA iaitu pili air, tangki tandas dwi simbahan, mangkuk buang air kecil, pancuran mandi dan mesin basuh.
Terdapat lima jenis produk di bawah SPPCA iaitu:

i. Pili (tap) air (termasuk tap basin, tap sinki, tap pancuran mandi dan tap wuduk)

ii. Tangki tandas dua simbahan

iii. Peralatan urinal (injap simbah)

iv. Pancuran mandi

v. Mesin basuh

Meskipun SPPCA adalah satu skim sukarela, namun pengeluar perlu mendaftar dan melabel produk cekap air mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Produk cekap air dinilai mengikut tahap penggunaan air berdasarkan kepada tiga sistem penarafan bintang iaitu:

* Satu bintang menunjukkan bahawa produk adalah cekap air

** Dua bintang menunjukkan bahawa produk sangat cekap air

*** Tiga bintang menunjukkan bahawa produk paling cekap air

Label SPPCA mempunyai beberapa maklumat iaitu jumlah bintang yang menunjukkan kadar cekap air, nombor pendaftaran produk SPPCA serta maklumat produk seperti jenama, model dan jumlah penggunaan air.

Kelayakan untuk mendapatkan SPPCA terbuka kepada pengilang, pengimport atau pengedar/penjual produk sanitari, kelengkapan air dan mesin basuh di Malaysia.

Semua produk (kecuali mesin basuh) perlu mematuhi standard bahan dan prestasi bagi pensijilan seperti yang terkandung di dalam standard produk tersebut.

Pembekal dan produk mestilah disenaraikan di bawah “Penyenaraian Pembekal SPAN” (boleh rujuk di Garis Panduan Penyenaraian dan pendaftaran Produk dan Pembekal SPAN).

Bagi memastikan produk benar-benar menjimatkan penggunaan air, setiap produk cekap air perlu menjalankan pengujian di Badan-badan Pensijilan yang diiktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) seperti SIRIM QAS Sdn. Bhd., IKRAM QA Sdn. Bhd., CIDB Holdings Sdn Bhd, Watermarks Certification (M) Sdn. Bhd., ANQAS cerification Sdn. Bhd. dan lain-lain

Ia bagi memastikan produk-produk yang berdaftar dengan SPAN melalui SPPCA adalah berkualiti dan mematuhi kadar aliran air yang telah diwajibkan oleh SPAN.

Senarai pembekal dan produk yang berdaftar dengan SPPCA boleh didapati di laman web SPAN di https://www.span.gov.my/article/view/database-online-search.

Produk cekap air memberi manfaat besar kepada pengguna malah mampu mencapai penjimatan bil bulanan sehingga 50%.

Sumber: Sinar Harian

Add a Comment

Your email address will not be published.