Kempen #AirKita — Ke Arah Memperkasakan Komuniti Yang Cakna dan Proaktif Dalam Memelihara Air

Ditulis oleh: Abdullah Murtada, Disunting oleh: Shahirah Anuar 

Air merupakan sumber berharga dan tidak ternilai yang di mana memerlukan rasa sentimen yang kuat, iaitu kepekaan serta keprihatinan daripada individu untuk memastikan kualiti air terjaga. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada tahun 2021, rakyat Malaysia menggunakan purata 201 liter air setiap orang sehari, bersamaan 134 botol berkapasiti 1.5 liter satu botol. Justeru itu, selaras dengan pemerkasaan komuniti yang cekap air, Kempen “Air Kita, Tanggungjawab Bersama” (atau dikenali sebagai #AirKita), berfungsi sebagai penghubung antara masyarakat awam serta agensi-agensi air di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui komunikasi dua hala yang berkesan. Dengan ini, kami bangga untuk memaklumkan bahawa Kempen #AirKita telah disiar langsung pada awal tahun 2023! 

Untuk memastikan kempen #AirKita dapat dilaksanakan dengan efektif, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan menggunakan beberapa kaedah pendekatan, iaitu laman sosial media, penglibatan komuniti dan korporat tempatan. Penghebahan mesej dan informasi mengenai isu air sudah tentu memerlukan platform yang mudah untuk dicapai oleh komuniti dengan latar belakang yang berbeza. 

Platform media sosial dan penglibatan pihak media membantu dalam menyampaikan bahan-bahan komunikasi seperti poster, video pendek, dan infografik yang efektif mengenai informasi serta isu air semasa dengan sahih dan tepat yang bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjadi pengguna air yang lebih bertanggungjawab. 

Kempen #AirKita mementingkan penglibatan komuniti yang aktif disebabkan ianya berupaya menyumbang kepada pemerkasaan komuniti melalui siri aktiviti pembangunan kapasiti seperti bengkel, dan ceramah kesedaran. Bukan sekadar hanya penglibatan, malah melalui anjuran aktiviti sebegini, komuniti yang merangkumi individu yang berbeza latar belakang dapat berkongsi pendapat mengenai perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembentungan tempatan. 

Secara tidak langsung, dengan wujudnya penglibatan masyarakat secara aktif, komunikasi dengan korporat tempatan akan tercetus, terutamanya pihak operator air di bawah SPAN. Sehubungan ini, kempen #AirKita mementingkan komunikasi dua hala yang berkesan supaya suara-suara komuniti dapat didengari dan dikongsi dengan proaktif berdasarkan perspektif sebagai pengguna air. 

Penubuhan kempen ini adalah sebagai saluran positif yang terus berusaha untuk membuktikan bahawa suara pengguna adalah penting sebagai indikator terhadap kualiti pengurusan bekalan air serta merupakan salah satu elemen penting dalam memupuk masyarakat yang cakna. Rebutlah peluang ini untuk memainkan peranan anda sebagai pengguna air yang bertanggungjawab dengan berkongsi suara anda kepada kami! 

Penggunaan air memberi kesan secara langsung kepada alam di sekeliling kita. Melalui kempen #AirKita, platform ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk mempelajari serta melakukan perubahan terhadap gaya hidup — dengan rasa sifat tanggungjawab serta berhemah. 

Perubahan bermula dari diri sendiri. 

Add a Comment

Your email address will not be published.