ECOKNIGHTS DAN SPAN BEKERJASAMA MEMBINA KOMUNITI PRIHATIN DAN CAKNA TENTANG PERKHIDMATAN AIR

ECOKNIGHTS DAN SPAN BEKERJASAMA MEMBINA KOMUNITI PRIHATIN DAN CAKNA TENTANG PERKHIDMATAN AIR

[UNTUK SIARAN SEGERA]

ECOKNIGHTS DAN SPAN BEKERJASAMA MEMBINA KOMUNITI PRIHATIN DAN CAKNA TENTANG PERKHIDMATAN AIR

Kuala Lumpur, 31 Januari 2023 — Pelancaran Kempen “Air Kita, Tanggungjawab Semua” atau singkatannya #AirKita oleh badan Forum Air  merupakan satu inisiatif  proaktif bagi meningkatkan komunikasi berkesan serta berhemah secara dua hala di antara masyarakat dan badan kawal selia perkhidmatan air negara iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). 

Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights Kuala Lumpur dan Selangor (atau dikenali sebagai “EcoKnights”) telah dilantik oleh SPAN bagi menjalankan fungsi sebagai sebuah organisasi bebas yang mewakili dan membawa suara pengguna yang dikenali sebagai FORUM AIR bermula 1 Januari 2023 hingga  Disember 2024. Pelantikan tersebut adalah selaras dengan peruntukan yang terdapat pada Seksyen 70, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

Dengan pelancaran kempen #AirKita ini,  EcoKnights yakin bahawa jurang komunikasi di antara pengguna dan SPAN serta operator-operator bekalan air dan pembetungan  awam dapat dikecilkan malah lebih dari itu ianya bakal mempermudah usaha untuk sama-sama melestarikan perkhidmatan air yang mapan. Antara langkah yang bakal dijalankan adalah mengumpul maklum balas pengguna berkenaan perkhidmatan air melalui pelbagai platform iaitu secara digital (dalam talian) mahupun secara bersemuka melalui kempen-kempen di lokasi strategik. EcoKnights berpendapat bahawa suara pengguna adalah sangat signifikan serta perlu diteliti secara holistik untuk membolehkan solusi bagi sesuatu isu berkaitan perkhidmatan air dapat dicapai secara tuntas.

Usahasama di antara EcoKnights dan SPAN diperkukuhkan lagi melalui perkongsian aspirasi sama kedua-dua organisasi di mana Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Dato’ Haji Ahmad Faizal bin Abdul Rahman turut meletakkan pengguna sebagai keutamaan organisasi tersebut dalam  memastikan setiap rakyat mempunyai akses terhadap perkhidmatan air yang bersih, selamat dan boleh diyakini dengan kos yang berpatutan. 

Justeru itu, pentingnya kewujudan FORUM AIR yang berperanan sebagai wakil atau pemudah cara dalam penyampaian dan pengumpulan maklumat secara kolektif dan efektif melalui saluran yang boleh dicapai oleh awam. Kolaborasi SPAN dan EcoKnights sebagai FORUM AIR dijangka akan dapat membantu masyarakat untuk lebih cakna berkenaan perkhidmatan air di negara ini dan seterusnya awam dapat memainkan peranan mereka sebagai pengguna yang peka dan bertanggungjawab. 

Berdasarkan statistik yang diterbitkan SPAN, untuk tahun 2021, purata penggunaan air per kapita di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah sebanyak 251  liter setiap hari. Jumlah tersebut adalah melebihi sasaran yang ditetapkan melalui Pelan Kelestarian Alam Sekitar 2020-2030 iaitu purata 180 liter air setiap individu, setiap hari menjelang tahun 2025. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya pengetahuan mengenai pengurusan air dalam kalangan pengguna bagi membentuk masyarakat yang cakna tentang penggunaan air secara berhemat melalui pendekatan pemerkasaan komuniti.

Naib Pengerusi EcoKnights, Amlir Ayat menekankan keperluan kerjasama dengan SPAN merupakan sebahagian daripada strategi untuk mengukuhkan dasar-dasar berkaitan dengan air yang lebih baik serta meningkatkan komunikasi yang berbilang saluran dalam memastikan jurang antara orang awam dan kerajaan dikurangkan, terutamanya dalam pengurusan air. 

Beliau juga berkata pelancaran kempen ini adalah satu langkah ke arah penekanan terhadap perubahan sikap, motivasi serta tindakan orang awam dalam menguruskan air dengan lebih waspada, dan prihatin pada pelbagai peringkat.

Pelaksanaan kempen ini berpotensi untuk meningkatkan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha sama untuk menguruskan dan memelihara air demi kepentingan alam sekitar. Sehubungan itu, kempen #AirKita  bertujuan untuk mengetengahkan peranan mereka yang berpengalaman serta berpengetahuan untuk memastikan objektif kempen ini tercapai melalui pendidikan serta perkongsian pesanan yang neutral, telus serta jelas mengenai isu perkhidmatan air. Dalam memastikan capaian menyeluruh, EcoKnight akan turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar dan air yang lain seperti Water Warriors UM, Alliance of River Three, Friends of Rivers dan lain-lain.

Tuntasnya, air merupakan keperluan asas manusia yang perlu dijaga dan dilindungi dengan sepenuh sifat rasa tanggungjawab. Oleh itu, sila salurkan sebarang pendapat dan maklum balas jika anda mengalami isu berkenaan pengurusan atau perkhidmatan air dan pembetungan di laman web rasmi Kempen #AirKita, iaitu https://www.airkita.org.my/

-Tamat- 

                                                                                                                                                                               

MENGENAI ECOKNIGHTS®

Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights Kuala Lumpur dan Selangor (atau EcoKnights) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS). Organisasi ini diterajui oleh rakyat tempatan selama lebih 17 tahun dalam mendidik dan memberi kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar. Program-program yang dijalankan adalah dalam bentuk pendidikan yang memfokuskan isu-isu pemuliharaan alam sekitar di Malaysia. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web kami di www.ecoknights.org.my.  

MENGENAI SPAN

SPAN adalah sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang berperanan untuk menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan. SPAN mengawal selia kesemua entiti dalam industri air dan pembetungan termasuk operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan awam, operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan persendirian, kontraktor bekalan air dan pembetungan, pemegang permit dan kelulusan produk bagi bekalan air dan pembetungan. SPAN mengawal selia industri perkhidmatan air berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yangtelah berkuat kuasa pada 1 Januari 2008. Info terkini mengenai SPAN boleh didapati di https://www.span.gov.my/ 

                                                                                                                                                                               

*Hubungi pihak kami untuk sebarang pertanyaan: 

EcoKnights:
Shahirah Anuar
Telefon: +60 115634 2344

Emel: shahirah@ecoknights.org.my 

Add a Comment

Your email address will not be published.